Tuesday, September 18, 2012

BAB2 : bubur nasi Umar


Cikgu Haris memang garang, pernah dia menengking anak muridnya sehingga terkencing. Berbekal rona wajah keras, sedikit jelingan mata kecil bisa membuat murid sekolah kebangsaan seri alam kecut perut. Jarang benar anak muridnya bertegur sapa apatahlagi mahu terserempak disusur jalan. Lain benar auranya berbanding guru yang lain.


“Bangun, selamat pagi cikgu” tutur Halim penuh semangat. Ketua darjah yang terpilih atas dasar terpaksa. Serentak murid yang lain bangun lantaran mengulang ucapan selamat pagi. “Selamat pagi murid – murid” balas cikgu Haris bernada tegas.  “Baiklah, sekarang sila keluarkan kerja sekolah yang telah saya berikan semalam. Ada sesiapa yang tak siapkan kerja sekolah?” sambungnya lagi.
Diam. Yang kedengaran hanyalah bunyi decitan kipas yang agak berkarat berselang-selikan ketukan perlahan jari cikgu Haris di sudut meja. Cikgu Haris mengajar bahasa melayu untuk murid tahun 4 bestari. “baiklah tanpa membuang masa, bermula dari Jamil cikgu mahu kamu bacakan pantun yang telah kamu semua reka” arah cikgu Haris sambil melangkah kembali ke tempat duduknya.
Selang tiga baris ditengah kelas, kelihatan Umar sedikit gelisah, jantungnya berdegup kencang serba tak kena. Tapak tangannya mula berpeluh. Turun naik nafasnya tak menentu. Serba tak kena perasaannya. Sekejap dia menyelongkar beg beralih ke bawah meja. Nah Umar benar mencari nahas, Kerja sekolah yang dibekalkan tidak dijumpai. Semalam cikgu Haris memberikan kerja sekolah, semalaman jualah Umar menyiapkan pantun. Kini Umar benar-benar sangat takut. Ingin sahaja dia berlari keluar dari bilik darjah menyelamatkan diri.
Umar  memang agak terkenal dikalangan  guru sekolah Seri Alam. Sikapnya yang “rajin” menyiapkan kerja  sekolah  membuatkannya sering mendapat tempat dihati guru sekolah tersebut.  Umar mungkin jaguh tidak menyiapkan kerja sekolah namun untuk tidak menyiapkan kerja sekolah yang cikgu Haris berikan, tak terdetik dalam benak fikirannya.  
Umar terasa seakan seumur hidupnya bakal berakhir sebentar lagi.  Badan teras lemah seakan mahu pitam. Seperti mahu sahaja dia menangis semahunya hanya menanti sedikit herdikan dari cikgu Haris bisa meluruh air mata. “umar” jerkah cikgu Haris. “apa yang kamu cari?” soalnya lagi dengan nada yang semakin meninggi. Sedari tadi dia memerhati gelagat Umar seperti cacing kepanasan.  
Umar gagap seakan sesak nafas “ sssaya ssaya tertinggal  ke ker kerja sekolah saya cikgu” menggigil Umar memberikan jawapan. Zasss..Laju cikgu Haris menyebat rotan ke atas meja. Tersentak murid-murid yang lain. “kamu jangan nak beri alas an, kamu tak siapkan kerja sekolah kamu bukan. Dah banyak saya dengar aduan kamu selalu tak siapkan kerja sekolah!” marah cikgu Haris.
Tanpa disuruh berderai air mata Umar ditengking cikgu Haris. “Kamu jangan jadi malas Umar” sambungnya lagi. Tersedu Umar menangis. “Halim, sekarang kamu pergi panggil kakak Umar, Farhana dan Atikah dating ke sini.” Arah cikgu Haris. Farhana berada di tahun 5 manakala Atiqah di tahun 6. Atiqah dan Farhana sampai ke muka pintu tahun 4. Riak wajah sedikit bingung dah gusar.
“Kamu tahu apa yang adik kamu Umar dah lakukan?” soal cikgu Haris. Serentak mereka menggelengkan kepala.  “umar tak siapkan kerja sekolah, dah banyak aduan dari guru lain saya dengar, saya harap kamu beritahu ibubapa kamu supaya menasihatkan umar. Selepas ini saya taknak dengar lagi aduan fasal Umar tak siapkan kerja sekolah. Faham!” seraya meraka mengangguk.  “Kamu berdua boleh balik ke kelas sekarang” arah cikgu Haris. Merah padam muka Atiqah, dijelingnya pada Umar seakan penuh kebencian beraja dihati terus melangkah pergi. Umar terdiam, tangisannya kini bersisa. Malu benar rasanya, tunduk terpaku merenung lantai.  Umar bingung, ligat memikirkan perkara apa lagi bakal berlaku.
“Umar, kamu berdiri disitu sehingga habis kelas, Yang lain sambung baca pantun” keras tutur cikgu Haris. Sambil berdiri tangan kanannya masih ligat mencari kerja sekolah yang ditulis di atas kertas A4. Dalam begnya. Puas Umar berfikir, seingatnya dia memang ada memasukkan kerja sekolah tersebut ke dalam beg.  Terdetik dia menyelak buku teks bahasa melayu. Ada. Terselit kemas dicelah helaian. Sedikit girang. Terjerit kecil Umar “ cikgu saya dah jumpa pantun saya” laung Umar girang. Sedikit tersentak cikgu Haris. Umar lupa herdikan dan jerkahan cikgu Haris. Lupa rasa dimalukan, lupa rasa takut, lupa jelingan atikah bahkan LUPA apa bakal berlaku sekembalinya ke rumah.
~T.A.M.A.T~
p/s : nasi dah jadi bubur namun Umar tetap kenyang.

No comments:

Post a Comment